JOM JADI BIJAK HARI INI!





CURRENT CONTENT

Di Sebalik Tabir Valentines Day

Di Sebalik Tabir Valentines Day

Oleh: Ummu Nad (Sumilah Marto –Pengerusi Raudhatus Sakinah IKRAM Johor )



Tanggal 14 Februari merupakan hari yang ditunggu-tunggu saban tahun oleh para remaja khususnya yang sedang dilamun cinta. Pada tanggal ini si jejaka akan sibuk mencari hadiah untuk si gadis bagi membuktikan rasa kasih dah sayang, manakala si gadis pula sibuk berhias untuk si jejaka. Sungguh indah dan bahagianya hari itu, bagaikan dunia dan segala isinya menjadi milik mereka.

Perayaan Valentine’s Day atau Hari Kekasih mula menjalar di kalangan masyarakat Malaysia khususnya golongan muda-mudi menjelang akhir tahun 1980-an seiring dengan munculnya siaran-siaran televisyen yang banyak mengupas dan menayangkan iklan dan juga filem-filem bertemakan perayaan tersebut.


Valentine’s Day diraikan melalui pelbagai acara yang tidak bermoral di mana pasangan muda mudi menghabiskan malam perayaan tersebut dengan bergaul bebas dan akhirnya terlibat dengan pesta seks. Tetapi adakah disedari, dari mana asal-usulnya sambutan Valentine’s Day ini?



SEJARAH VALENTINE’S DAY

Salah satu versi terkuat menyatakan asal usul sejarah Valentine’s Day bermula di sekitar tahun 270M, di zaman pemerintahan Maharaja Rom iaitu Maharaja Claudius II yang zalim. Rom ketika itu terlibat di dalam beberapa peperangan yang berdarah dalam usaha untuk meluaskan empayarnya.


Claudius menghadapi kesukaran untuk mendapatkan tentera. Pada pandangan beliau sebab utama pemuda-pemuda Rom tidak berminat menjadi tentera ialah kerana mereka sukar meninggalkan kekasih dan keluarga mereka. Untuk mengatasi masalah ini, Claudius telah mengharamkan semua perkahwinan dan pertunangan di kalangan masyarakat Rom.

Saint Valentine merupakan salah seorang paderi Rom ketika itu. Beliau bersama seorang paderi lain bernama Saint Marius secara rahsia telah membantu mengahwinkan pasangan-pasangan yang ingin berkahwin. Akibatnya beliau telah tangkap, dipenjara, dan dijatuhkan hukuman bunuh pada tanggal 14 Februari tahun 270 M. Beliau dianggap ‘syahid’ oleh para penganut Kristian ketika itu.

Sebelum dijatuhkan hukuman bunuh, ramai golongan muda menziarahi Saint Valentine semasa beliau di dalam penjara sebagai tanda sokongan dan simpati. Salah seorang yang kerap mengunjungi beliau ialah anak gadis kepada seorang pengawal penjara yang akhirnya membibitkan perasaan kasih sayang di antara mereka.

Pada hari Saint Valentine dijatuhkan hukuman bunuh, beliau telah meninggalkan sekeping nota kepada gadis tersebut dengan menulis ucapan terima kasih dan diakhiri dengan perkataan “Love from your Valentine”. Menurut sejarah, nota inilah yang memulakan budaya Valentine’s Day.

Sumber: http://en.wikipedia.org/wiki/Valentines_Day

ISLAM DAN VALENTINES DAY

Rakaman sejarah di atas membuktikan bahawa perayaan Valentine’s day langsung tidak berkaitan dengan umat Islam. Malah ia berasal dari budaya serta agama golongan yang ingkar kepada perintah Allah S.W.T. Rasulullah SAW melarang umat Islam meniru budaya orang bukan Islam kerana dibimbangi akan tergolong bersama dalam golongan tersebut.

Sabda baginda bermaksud:
”Barang siapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka”. (Riwayat Abu Dawud).

Mengenai hukum menyambut Hari Valentine, seorang ulamak Arab Sheikh al-‘Utsaimin berkata:

“Maka bila dalam merayakan Hari Valentine tersebut bermaksud untuk mengenangkan kembali St. Valentine, maka tidak diragukan bahawa orang itu telah kafir. Dan jika tidak bermaksud begitu namun sekadar ikut-ikutan kepada orang lain, maka orang itu telah melaksanakan dosa besar”.


Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan:

“Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam”.


Justeru, Islam menyeru seluruh umat Islam khususnya remaja-remaja Islam agar tidak meraikan sambutan Hari Kekasih serta menghindari perilaku yang menjurus ke arah meraikannya. Perilaku berikut wajar dielakkan:


1. Keluar berpoya-poya bersama kekasih dan menyambut hari tersebut dengan mengadakan parti atau majlis seumpamanya.

2. Menghantar kad-kad ucapan Valentine Day di mana pada kad-kad tersebut terdapat gambar pari-pari yang mempunyai dua sayap yang menjadi simbol kepercayaan agama kristian.


3. Menulis ucapan kata-kata cinta di dalam kad yang diutuskan dengan menyatakan keinginan cinta kepada kekasih kerana ianya juga sikap mempamerkan rasa gembira dan percaya akan hari tersebut.

4. Menghantar pesanan ringkas (SMS) kepada kekasih untuk meluahkan rasa sayang bersempena dengan Hari memperingati kekasih (Valentine Day) sebagai tanda percaya akan “keajaiban” hari tersebut.

Sesungguhnya perbuatan di atas juga bercanggah dengan syara’ kerana ianya akan menyumbang kepada berlakunya perkara maksiat dan zina.

Firman-Nya: “ Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang membawa kepada kerosakan.” (Surah Al-Isra’ ;32)

Kasih Sayang Dalam Islam

Islam memberi garis panduan yang jelas dan membenarkan hubungan kasih sayang sesama manusia dalam kerangka syariat. Hubungan kasih sayang kepada ibu bapa, sahabat dan sesama masyarakat boleh dilakukan setiap hari. Tujuh golongan manusia yang akan mendapat lindungan `Arasy dan salah satunya ialah golongan mereka yang berkasih sayang ( bertemu dan berpisah ) kerana Allah SWT.

Firman Allah SWT : 'Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja) dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal.'(al-Mukmin: 39).

Islam juga menggalakkan umatnya supaya berkasih sayang di antara satu sama lain akan tetapi untuk meluahkan kasih sayang di antara seorang lelaki dan perempuan perlu melalui saluran yang dibenarkan oleh syarak iaitu melalui perkahwinan, bukan melalui cara yang dilarang dan berbentuk kemaksiatan


KESIMPULAN


Berdasarkan penerangan yang diberikan, adalah jelas bahawa tidak ada istilah Hari Kekasih atau Valentine's Day dalam Islam. Hakikatnya, adalah tidak boleh orang-orang Islam menyertainya kerana hari tersebut adalah merupakan hari perayaan bagi orang-orang Kristian


Perlu kita ingat bahawa golongan yang memusuhi Islam, akan sentiasa berusaha menanamkan benih-benih kesesatan dalam jiwa umat Islam supaya mereka jauh dari jalan yang lurus lagi diredai Allah SWT.

Firman-Nya:
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar).” (al-Baqarah ayat 120)

Oleh itu, ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting untuk mengawasi anak-anak mereka agar tidak meraikan hari tersebut dan melakukan perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat. Pihak pentadbiran sekolah dan institusi pengajian tinggi pula disarankan agar lebih proaktif untuk memastikan tiada acara sambutan hari tersebut serta aktiviti bertukar-tukar bunga ros, kad-kad ucapan dan sebagainya.

Sebagai alternatif atau serangan balas kepada pihak yang mengadakan pesta besar-besaran pada hari tersebut, program-program berikut mungkin boleh dijalankan:

1. Mengadakan forum-forum bertemakan “Kekasih Awal dan Akhir” di mana isi perbincangan berkisar kepada menghidupkan kecintaan kepada Yang Maha Esa dan agamaNya.

2. Menyuburkan budaya ziarah menziarahi kedua ibu bapa atau ahli keluarga yang lain bagi menyuburkan kasih sayang yang semakin pudar disebabkan kesibukan tugas masing-masing.

3. Mengadakan sambutan hari keluarga samada di peringkat individu,organisasi atau kawasan.

Dengan adanya program alternatif yang dirancang seperti ini, diharap umat Islam khasnya golongan remaja tidak terikut-ikut dengan budaya ‘Hari Kekasih' yang dicipta oleh orang-orang Kristian, sebaliknya menggunakan masa dan waktu dengan melakukan perkara yang mendatangkan manfaat di mana matlamat akhirnya adalah menghidupkan cinta kepada Allah Subhanahu Wataala.

No Response to "Di Sebalik Tabir Valentines Day"